Ahad, 27 September 2015

Forum 1





KANAK-KANAK & SOSIOEMOSI

Assalamualaikum & selamat sejahtera kepada para pembaca sekalian. Entri saya pada kali ini adalah berkisar mengenai sosioemosi kanak-kanak yang dibina melalui beberapa faktor persekitaran. Namun, di sini saya ingin menggariskan salah satu faktor yang penting mempengaruhi nilai sosioemosi kanak-kanak iaitu yang datang dari pengaruh rakan sebaya.
Perkembangan sosioemosi ialah keupayaan kanak-kanak untuk berinteraksi serta memberikan tindakbalas terhadap sesuatu dan bertingkahlaku mengikut norma masyarakat.
Perkembangan ini dapat dilihat sama ada melalui tingkah laku positif seperti berkongsi, berdikari dan mengikut peraturan atau tingkahlaku negative seperti bergaduh, mengasingkan diri dan kurang berkeyakinan diri. Faktor persekitaran kehidupan kanak-kanak banyak mempengaruhi nilai sosioemosi seseorang kanak-kanak.
Antara mereka yang beroleh pengaruh kuat dalam mempengaruhi sosioemosi kanak-kanak adalah dari kalangan rakan sebaya mereka. Rakan sebaya merupakan individu yang paling kuat member pengaruh kepada kanak-kanak dengan diperkuatkan lagi melalui satu kajian yang dijalankan oleh Student Social Support Scale yang menyatakan , kanak-kanak merasakan rakan mereka adalah penting kepada mereka (Malecki & Elliott,1999). Apa sahaja penyebab seseorang pelajar itu Berjaya adalah pengaruh rakan sebaya kepada mereka. Namun apabila umur kanak-kanak semakin meningkat dewasa , mereka tidak lagi memikirkan hal tersebut. Mereka akan menerima sahaja sesiapa yang ingin berkawan dengan mereka yang mereka selesa dan seronok. Jadi, cara menerima seseorang itu masuk dalam hidup kita bergantung kepada bagaimana perasaan kita terhadap orang itu.
Menurut (Nursuhaili,2010) ,kanak-kanak lazimnya menggunakan rakan sebaya sebagai panduan apabila menilai dirinya sendiri dari segi tingkah laku , personaliti, kemahiran, serta kebolehan. Peranan rakan sebaya bagi kanak-kanak adalah sebahagian dari lanjutan kepada proses sosialisasi dalam keluarga. Kumpulan rakan sebaya dapat berfungsi sebagai penggantian jika perhubungan dengan ibu bapa tidak baik atau tegang. (Rohani Abdullah,2001) menekankan kepentingan peranan rakan sebaya adalah sangat positif dalam mempengaruhi perkembangan sosial , bahasa dan pendidikan seseorang individu.
Kajian (Quek Miow Leng,2006) , tentang kumpulan sebaya banyak membawa kesan terhadap pencapaian dan aspirasi pelajar jika dibandingkan dengan latar belakang atau komposisi sekolah. Manakala (Nursuhaili,2010) , turut menyatakan bahawa rakan sebaya memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan kebolehan sosial serta kognisi sosial. Menurut beliau juga, selain  daripada mengembangkan kebolehan dan kognisi sosial, rakan sebaya juga turut mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang individu. Tingkah laku yang biasnya dipengaruhi biasanya merangkumi cara bercakap, cara berpakaian dalam kehidupan seharian, dan juga cara kanak-kanak itu menuntut ilmu. 
Justeru itu, jelaslah bahawa rakan sebaya turut memainkan peranan dalam pembinaan dan perkembangan nilai sosioemosi seseorang kank-kanak untuk beradaptasi dalam norma msayarakat. Faktor rakan sebaya memberi lebih banyak kesan positif kepada perkembangan kanak-kanak dalam persekitaran kehidupan seharian.

Sekian dahulu coretan entri saya pada kali ini.